Sunday 18 June 2017


Lokasi Menarik Negeri Sembilan

1 - Masjid Negeri : Seremban - Kalau anda bersiar-siar makan angin atau bercuti di Seremban, anda boleh singgah sejenak untuk solat sambil merehatkan diri dan menikmati keselesaan suasana Masjid Negeri yang besar amat selesa dengan kemudahan yang lengkap. Masjid ini telah dibina pada tahun 1966, binaan masjid ini agak simbolik dengan asas sembilan buah tiang utama, sembilan anjung tambahan dan sembilan ruang yang melambangkan sembilan daerah pentadbiran yang berada dalam Negeri Sembilan.

Lokasi : Jalan Dato' Hamzah Seremban
Negeri Sembilan


2 - Lorong Seni Seremban : Suasana bandar Seremban yang tenang dengan adunan klasik menambahkan lagi aura hipster Lorong Seni ini. Kepada anda yang gemar berselfie atau gemar mengambil gambar untuk paparan umum dan simpanan koleksi kembara peribadi memang sesuai, paparan lakaran lukisan 3D lorong seni ini akan memberi anda kepuasan untuk memperagakan pelbagai aksi berlatarbelakang pelbagai kaum yang menarik.

Lokasi : Lorong Seni Seremban
155c, Jalan Dato Bandar Tunggal
Bandar Seremban Negeri Sembilan


3 - Gunung Datuk Rembau : Memiliki ketinggian 2900 kaki lebih tinggi daripada gunung Angsi dan berada dalam senarai gunung yang ke 220 tertinggi daripada 300 buah gunung yang tersenarai di Malaysia. Gunung Datuk menghidangkan pemandangan yang indah bersama dakapan udara nyaman mala segar pasti memikat hati anda yang mencintai alam semulajadi. Alang-alang mendaki baik anda terus berkhemah sambil menikmati irama simfoni alam penginap rimba sambil membisik cerita indah pada hari malam, bila bangun tidur anda akan disajikan pemandangan matahari naik bagai mengejar awan. Sudah pasti anda merasa puas menikmati dunia alam semulajadi.

Lokasi : Daerah Rembau
Negeri Sembilan


4 - Hutan Simpan Sungai Menyala Port Dickson : Ianya merupakam hutan Dipterokarp Tanah Pamah yang terbesar di Asia Tenggara, hutan simpan ini masih terjaga dan kekal daripada kemusnahan, ianya masih kekal status hutan dara yang tak dinodai arus pembangunan dan pemusnahan alam semulajadi. Didalam lingkaran hutan simpan ini masih tersimpan kekayaan flora dan fauna yang berkongsi hidup bersama unggas-unggas hutan lain sambil melambai pengemar aktiviti lasak merasai keindahan hutan dara Sungai Menyala.

Lokasi : Hutan Simpan Sugai Menyala
Port Dickson Negeri Sembilan


5 - Port Dickson : Sejarah awal kawasan ini merupakan tempat penghasilan arang sehingga pernah mendapat panggilan Arang sebelum ditukarkan kepada Port Dickson. Sesuai digelar kawasan dikelilingi pantai-pantai yang indah, jarak masa perjalanan hanya sejam dari Kuala Lumpur. Banyak aktiviti-aktiviti air yang boleh dilakukan seperti snorkeling, wind surfing, berkayak, ski air malah banyak lagi yang boleh anda lakukan. Kepada pelancong tempatan yang gemar berkhemah anda boleh merasai suasana yang seronok sambil memancing, yang minat belayar anda boleh daftar dengan Yacht Club di Port Dickson dan tak lupa yang mengemari makanan laut sudah pasti anda boleh merasai di sini.

Lokasi : Port Dickson Negeri Sembilan


6 - Taman Tasek Seremban : Merupakan tasek semulajadi tertua di Malaysia, taman ini memiliki landskap pohon-pohon tropika yang menghijau keredupan bersama bunga-bungaan yang tersusun indah. Disini terdapat dua pecahan tasek yang luas, malah anda boleh memancing sambil merehatkan diri. Tasek ini lengkap dengan kemudahan asas seperti tandas, wakaf, pentas, kerusi, meja dan astaka penonton. Ianya bersebelahan dengan Masjid Negeri, Istana Yam Tuan, dan hotel bertaraf bintang. Tasek ini menjadi tumpuan warga kota melakukan aktiviti kecergasan berjogging, bersenamrobik dan senaman gaya bebas. Apa yang menarik, tasek ini terletak di tengah bandar Seremban. Apa lagi jangan lupa singgah kalau datang Seremban.

Lokasi : Taman Tasik Seremban
Jalan Bunga Raya, Seremban Negeri Sembilan


7 - Taman Orkid Seremban : Taman Orkid ini amat sesuai untuk bersantai dengan keluarga, lebih lagi kepada pengemar pokok orkid pasti dapat melihat pelbagai jenis pokok orkid penuh warna warni seperti Black Orchid, Tiger Orchid, Eria Eulchella, Eria Ornata dan banyak lagi jenis pokok orkid terdapat di sekeliling taman ini untuk menyejukkan mata memandang sambil melihat air terjun buatan, taman ini berkeluasan 1.62 hektar.

Lokasi : Taman Orkid Seremban
Negeri Sembilan


8 - Gunung Angsi Kuala Pilah : Gunung Angsi tidak jauh dari bandar Seremban, terdapat dua laluan untuk anda menakluki gunung ini. Anda boleh gunakan laluan pendakian Bukit Putus atau laluan Hutan Lipur Ulu Bendul yang lebih mencabar menempuh denai iaitu anak sungai seterusnya puncak pendakian xtreme dapat menguji keupayaan diri. Laluan pendakian Bukit Putus lebih singkat ianya kurang 1 - 1.5 km perbezaan dengan laluan Ulu Bendul. Puncak Gunung Angsi sebuah hamparan indah panorama alam sambil melihat banjaran gunung-gunung lain yang terdapat di Negeri Sembilan. Tanya kepada petugas atau ranjer jabatan hutan yang mengendalikan permit untuk pendakian Gunung Angsi.

Lokasi : Gunung Angsi, Kuala Pilah
Negeri Sembilan


9 - Batu Maloi Cave : Anda akan berada dalam gua hampir 90% dalam misi menerokai Gua Batu Maloi yang agak mencabar diri anda, penerokaan gua ini memberi satu pengalaman baru kerana anda terpaksa menahan kesejukan dengan permukaan laluan gua yang bersungai mampu mencecah paras pinggang dan sehingga paras dada. Pastikan anda mempunyai peralatan yang lengkap seperti headlamps kalis air, sarung tangan kerana anda perlu menolak arus aliran air yang agak deras sambil merangkak dan anda perlu membawa makanan yang dapat memberi tenaga setelah mengharungi suasana kesejukan air belantara semulajadi. Setiap aktiviti yang hendak dilakukan mesti mendapatkan khidmat 'tour guide' terlebeh dahulu agar tidak berlaku perkara yang buruk terhadap anda.

Lokasi : Batu Maloi Cave Tampin
Negeri Sembilan


10 - Rantau Eco Park : Sebuah taman yang memiliki kolam agak luas dengan memaparkan pemandangan kehijauan lingkaran semulajadi untuk anda sekeluarga sambil mandi manda untuk dewasa dan kanak-kanak, anda juga boleh beriadah melayani anak mengunjungi zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis binatang seperti rusa, ayam, kuda, burung dan banyak lagi. Zoo mini ini membenarkan anda memberi makan dengan membeli makanan yang dijual untuk makanan binatang dan anda juga boleh merasai melakukan aktiviti berkayak yang ada dalam Rantau Eco Park.

Lokasi : Rantau Eco Park, 
Kampung Kuala Sawah Pasir
Rantau Negeri Sembilan

Nota Kami - blog NSFC 17 akan dikemaskini secara berterusan dalam kepelbagai cerita mengenai Negeri Sembilan . . . Hari ini bersambung lagi 04 / 11 / 2017.


11 - Muzium Tentera, terletak di Port Dickson yang sinonim dengan nama Bandar Tentera Darat kerana disinilah salah satu pusat latihan tentera darat terbesar di negara kita. Muzium ini pernah memenangi banyak anugerah, salah satunya Anugerah Merit Pelancongan Malaysia pada tahun 2007 dan 2008. Yang menariknya Muzium Tentera ini memaparkan pameran yang realistik dan meluas berkenaan bidang ketenteraan, antaranya kampung Ikhtiar Hidup  yang menempatkan replika suasana kampung dan dihiasi dengan banyak tumbuhan yang digunakan semasa dalam keadaan peperangan.

Terdapat juga segmen Terowong PKM iaitu Parti Komunis Malaya yang mempu membawa anda merasai sedetik bagaimana peperangan antara askar Melayu menentang Komunis semasa itu, jangan lepaskan peluang berkunjung bersama anak-anak dan keluarga untuk mendapatkan pengalaman serta cerita sebenar pengorbanan anggota tentera menjalankan tugas bagi memastikan negara kita terus aman makmur.

Lokasi : Muzium Tentera Darat, Kem Si Rusa
Persiaran Pahlawan Port Dickson Negeri Sembilan



12 - Bangunan Muzium Diraja Negeri Sembilan, kelihatan klasik dan unik merupakan sebuah istana mula dibina pada tahun 1902 sebelum merdeka. Bila anda melangkah masuk ke dalam kawasan Muzium Diraja ini anda akan dibuai seperti berada pada zaman dahulu dengan keadaan persekitaran masih kekal suasana kampung, yang menariknya bila anda berada dalam muzium setiap sudut ruangan dalam istana ini tidak diubah sama sekali termasuk kedudukan barang-barang kesultanan lama masih kekal dengan posisi semasa dahulukala.

Muzium ini terbahagi kepada empat bahagian berbeza iaitu Balai Rong Seri tempat takhta dan mengadap raja,  Balai Raja Muda, Bilik Beradu dan Ruang Santapan. Setiap ruang ini anda berpeluang melihat gambar-gambar yang berkaitan kesultanan Negeri Sembilan. Anda dapat merasai berada dalam dunia klasik dahulukala.

Lokasi : Muzium Diraja Seri Menanti
Seri Menanti Kuala Pilah Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment